Triterra bina projek korporat RM650 juta


KUALA LUMPUR 24 April – Triterra Metropolis Sdn. Bhd. bakal membina projek korporat komersial, The Met dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM650 juta dalam kawasan pembangunan integrasi KL Metropolis.

Ketua Pegawai Eksekutif Triterra Metropolis, Christopher Lim berkata, The Met berada dalam kawasan Met 8 seluas 2.47 ekar merupakan pembangunan pejabat gred premium pertama di sekitar Mont Kiara.

Jelas beliau, projek yang diba­ngunkan dengan kerjasama Naza TTDI Sdn. Bhd. (Naza TTDI) ber­kenaan mengandungi dua blok menara iaitu menara utara setinggi 42 tingkat dan menara selatan setinggi 30 tingkat.

“Projek The Met yang dijangka siap menjelang penghujung tahun 2020 atau pertengahan 2021 bakal menjadi menara korporat komersial paling mewah dalam kawasan Mont Kiara.

KL Metropolis merupakan projek pembangunan campuran bersepadu berimpak tinggi yang diba­ngunkan oleh Naza TTDI di uta­ra Kuala Lumpur bernilai kira-kira RM20 bilion.

Mengulas lanjut, Lim berkata, KL Metropolis bakal menjadi pemang­kin kepada pembangunan dan kemajuan di kawasan utara Kuala Lumpur memandangkan projek berkenaan dibangunkan dengan berpaksikan kepada pembinaan pusat pameran terbesar negara iaitu Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Katanya, usaha kerajaan membina MITEC dan meletakkan agensi kerajaan seperti pejabat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Perbadangan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) bakal menjadikan kawasan berkenaan sebagai hab perniagaan antarabangsa dalam lima tahun akan datang.

“Jika kita lihat kepada pemba­ngunan integrasi di sekitar Lembah Klang seperti KL Sentral yang berpaksikan kepada pengangkutan, Putrajaya sebagai pusat pentadbiran dan Cyberjaya ibarat Lembah Silikon di Amerika Syarikat, tidak mustahil MITEC akan menjadi satu kawasan tumpuan baharu di Kuala Lumpur.

KL Metropolis juga bakal menjadi gerbang daya penarik baharu kepada penduduk di utara Kuala Lumpur merangkumi kawasan elit seperti Mont Kiara, Bukit Tunku dan Hartamas serta pinggir bandar seperti Sentul dan Keramat,” katanya.

Read More